Dinasti Ming: Kebangkitan semula pemerintahan bangsa Han Sejarah_China

Rencana utama: Dinasti Ming

(1368-1644)

Terdapat sentimen yang bergelora di kalangan penduduk-penduduk terhadap pemerintahan "orang asing" (dikenali sebagai Dázi) yang akhirnya mencetuskan pemberontakan-pemberontakan petani. Orang-orang Mongol diundurkan ke steppe dan digantikan dengan Dinasti Ming pada tahun 1368.

Semasa pemerintahan Mongol, jumlah penduduk telah menyusut sebanyak 40 peratus sehingga lebih kurang 60 juta orang. Dua abad kemudian, jumlah ini bertambah sekali ganda. Pembandaran meningkat apabila jumlah penduduk bertambah dan ketika pembahagian kerja menjadi lebih rumit. Pusat-pusat bandar yang besar seperti Nanjing dan Beijing juga menyumbangkan kepada pertumbuhan industri swasta. Khususnya, industri-industri skala kecil muncul dan seringnya mengkhususkan dalam pengeluaran barang-barang kertas, sutera, kapas, dan porselin. Banyak pusat bandar yang agak kecil dengan pasar-pasar sendiri muncul di seluruh negara. Pasar-pasar bandar khususnya menjual makanan dan sebilangan barang kegunaan rumah seperti jarum peniti serta minyak masak.

Walaupun terdapat xenofobia (gerun orang asing) dan kaji diri intelektual yang mencirikan aliran fikiran neo-Konfusianisme baru yang semakin popular, China di bawah Dinasti Ming awal tidak terpencil. Perdagangan luar negeri dan hubungan-hubungan dengan bahagian-bahagian lain di dunia, khususnya dengan Jepun, bertambah dengan ketara. Pedagang-pedagang Cina menjelajah kesemua Lautan Hindi, dan tiba di Afrika Timur dengan pelayaran-pelayaran Zheng He (nama asalnya Ma Sanbao).

Zhu Yuanzhang atau (Hong-wu), pengasas Dinasti Ming, menyediakan asas untuk sebuah negara yang kurang minat akan perdagangan tetapi lebih berminat untuk memungut hasil daripada sektor pertanian. Mungkin kerana latar belakang maharaja ini yang merupakan seorang petani, sistem ekonomi Dinasti Ming menekankan pertanian, bertentangan dengan Dinasti Song dan Dinasti Mongol yang bergantung kepada pedagang-pedagang untuk hasilnya. Pemilikan tanah neo-feudal pada zaman dinasti-dinasti Song dan Mongol diekspropriasi oleh raja-raja Ming. Ladang-ladang besar dirampas oleh kerajaan dan dibahagikan untuk disewa. Pengabdian peribadi diharamkan. Oleh itu, selepas kemangkatan Maharaja Yong-le, terdapat lebih banyak petani yang memiliki tanah sendiri dalam pertanian Cina. Undang-undang tersebut mungkin membuka jalan untuk menghapuskan kemiskinan yang paling teruk semasa rejim-rejim terdahulu. Undang-undang yang menyekat pedagang-pedagang dan tukang-tukang dipeliharakan seperti di bawah Dinasti Song, tetapi saki baki kelas pedagang asing kini dibawa ke bawah undang-undang Ming yang baru. Dengan itu, pengaruh mereka merosot dengan pantas.

Hubungan asing Empayar Ming pada dekad 1580-an (ditunjukkan dengan warna biru )

Dinasti Ming mempunyai sebuah kerajaan pusat yang kukuh serta rumit yang menyatukan dan menguasai seluruh empayar. Peranan maharaja menjadi lebih autokratik, walaupun Zhu Yuanzhang masih meneruskan penggunaan apa yang digelar "Setiausaha-setiausaha Agung" untuk membantunya dalam kerja-kerja kertas birokrasi, seperti rayuan dan cadangan kepada maharaja, edik empayar sebagai balasan, berbagai-bagai laporan, serta rekod-rekod cukai. Adalah birokrasi yang sama ini yang kemudian menghalang kerajaan Ming daripada keupayaan untuk menyesuaikan diri kepada perubahan-perubahan dalam masyarakat, dan akhirnya mengakibatkan kejatuhan Dinasti Ming.

Maharaja Yong-le cukup aktif dalam percubaannya untuk memperluas pengaruh China di luar sempadannya dengan menuntut ufti daripada raja-raja yang lain. Sebuah angkatan tentera yang besar ditubuhkan, dengan kapal-kapal empat tiang yang beratnya 1,500 tan dibina. Sebuah angkatan tentera yang terdiri daripada sejuta orang askar tetap (sebilangan anggaran menetapkan bilangan ini sebagai 1.9 juta orang) ditubuh. Angkatan-angkatan tentera darat China menaklukkan Annam, manakala armada Cina belayar di laut-laut China serta Lautan Hindi sehingga pantai timur Afrika dan memperoleh pengaruh terhadap Turkestan. Banyak negara lautan Asia menghantar ufti kepada maharaja Cina. Di dalam negeri, Terusan Agung diperbesar dan terbukti menjadi perangsang untuk perdagangan dalam negeri. Melebihi 100,000 tan besi dikeluarkan setiap tahun. Banyak buku dicetak dengan menggunakan movable type. Istana empayar di Kota Larangan Beijing mencapai keindahan kini. Zaman Dinasti Ming kelihatan merupakan zaman China yang paling makmur. Adalah semasa abad-abad ini bahawa potensi China selatan dieksploitasi sepenuhnya. Tanaman-tanaman baru ditanam secara meluas, dan industri-industri seperti pengeluaran porselin dan tekstil berkembang maju.

Dinasti Ming juga merupakan dinasti terakhir yang mengerjakan Tembok Besar China. Sedangkan tembok itu dibina pada masa-masa awal, kebanyakannya yang dilihat pada hari ini dibina atau diperbaiki oleh Dinasti Ming. Kerja-kerja bata dan granit diperbesar, dan menara-menara pengawal direka bentuk semula, dengan meriam-meriam ditempatkan pada sepanjang tembok tersebut.